Pengenalan Kepada Rumah Pintar

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Rumah Pintar?

Teknologi rumah pintar secara amnya merujuk kepada mana-mana peranti, peraltan atau sistem yang disambungkan ke internet dan boleh bertindak sendiri atau dikawal dari jauh.

Sebagai contoh, termostat, lampu, speaker audio, TV, kamera keselamatan, kunci, peralatan rumah anda dan sebagainya telah disambungkan ke sesebuah sistem di mana anda boleh kawal melalui telefon pintar atau peranti skrin sentuh mudah alih.

Sejarah Rumah Pintar

Istilah Rumah Pintar telah dicipta oleh Persatuan Pembina Rumah Amerika pada tahun 1984. Pada awal 1990-an, terdapat fokus baru dalam menggabungkan gerontologi dan teknologi yang terdapat dalam geronteknologi untuk menambahbaik kehidupan warga tua.

Peralatan domestik, komputer dan robotik telah digabungkan dalam banyak produk dalam percubaan menjadikan mereka lebih pintar.

Pada tahun 1998, sebuah demonstrasi yang dipanggil Integer Millenium House telah dibuka di Watford. Demonstrasi ini membentangkan bagaimana automasi rumah dapat diintegrasikan dalam sebuah rumah dengan sistem penghabaan, kawalan tanah automatik, sistem keselamatan, pencahayaan dan pintu.

Dengan teknologi yang semakin murah dan mudah untuk didapatkan, teknologi ini secara beransur-ansur mula diintegrasikan ke rumah-rumah dan pada akhirnya dapat diakses oleh orang biasa.

Peralatan Pintar Pertama

Pada tahun 1966-1967, ECHO IV dan Computer Kitchen merupakan peranti pintar pertama yang telah dicipta, tetapi ia tidak pernah dijual.

ECHO IV merupakan mesin yang boleh mengira senarai perbelanjaan, mengawal suhu rumah serta menghidupkan dan mematikan peralatan.

Manakala, Computer Kitchen telah dibangunkan setahun kemudian dan mempunyai fungsi seperti menyimpan resepi. Tetapi malangnya, tiada model yang dijual.

Komponen-komponen Penting Rumah Pintar

  • Automasi

Automasi merupakan salah satu daripada dua ciri utama rumah pintar. Automasi merujuk kepada keupayaan untuk program dan menjadualkan peranti menerusi internet.

Pengaturcaraan merangkumi arahan yang berkaitan dengan masa. Contohnya seperti menetapkan waktu tertentu utnuk menghidupkan atau mematikan lampu anda pada setiap hari. Ia juga boleh merangkumi tindakan yang tidak dijadualkan seperti menyalakan semua lampu apabila penggera sistem keselamatan digerakkan.

  • Alat kawalan jauh

Ciri lain yang terdapat pada rumah pintar ialah pemantauan remote. Dengan menggunakan sistem automasi rumah yang betul, anda boleh menggunakan mana-mana peranti yang mempunyai sambungan internet untuk melihat dan mengawal sistem dan peranti itu sendiri.

Aplikasi pemantauan dapat memberikan banyak maklumat tentang rumah anda. Anda boleh menyemak status sistem keselamatan sama ada lampu sedang dibuka atau tidak, pintu sudah dikunci atau belum , suhu semasa rumah anda dan banyak lagi.

Dengan menjadikan kamera sebagai sebahagian daripada sistem automasi, anda boleh melihat apa yang berlaku di rumah anda sepanjang ketiadaan anda di rumah.

Notifikasi ringkas dapat digunakan untuk pelbagai tugas penting. Sebagai contoh, anda boleh memprogram sistem anda untuk menghantar mesej atau email sekiranya sistem keselamatan rumah mencatatkan masalah yang berpotensi untuk berlaku seperti kebakaran, cuaca yang teruk dan amaran pengesan pergerakan.

Bagaimana Rumah Pintar Bekerja?

Zigbee dan Z-Wave merupakan dua protokol komunikasi automasi yang paling biasa digunakan hari ini. Kedua-dua teknologi menggunakan isyarat radio jarak dekat dan berkuasa rendah untuk menyambung sistem rumah pintar.

Walaupun kedua-duanya menyasarkan aplikasi rumah pintar yang sama, Zigbee sering dianggap sebagai lebih kompleks berbanding Z-Wave.

Semua peranti pintar dikawal oleh pengawal automasi rumah utama yang sering dipanggil sebagai hub rumah pintar. Hub rumah pintar merupakan peranti perkakasan yang berfungsi sebagai pusat sistem rumah pintar yang dapat mengesan, memproses data dan berkomunikasi tanpa menggunakan wayar.

Ia menggabungkan semua aplikasi pintar yang berbeza menjadi aplikasi rumah pintar tunggal yang boleh dikawal secara jarak jauh oleh pemilik rumah. Contoh-contoh hub rumah pintar termasuklah Amazon Echo, Google Home, Insteon Hub Pro, Samsung SmartThings dan Wink Hub.

Dalam senario rumah pintar ringkas, waktu peranti bertindak adalah berdasarkan jam yang telah ditetapkan atau secara ‘triggered' . Sebagai contoh, menurunkan tirai pada jam 6.00 p.m.

Manakala tindakan secara ‘triggered' pula bergantung pada tindakan yang terdapat dalam sistem automasi. Sebagai contoh, apabila pemilik telefon pintar menghampiri pintu, kunci pintar akan dibuka dan lampu pintar juga akan dinyalakan secara sendiri.

Pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (AI) menjadi semakin popular dalam pembinaan rumah pintar kerana ia merupakan peneraju utama yang membolehkan

Apa Yang Ada Dalam Rumah Pintar?

Apa perkara yang boleh menjadi sebahagian daripada sistem automasi di rumah? Secara ideal, apa sahaja yang boleh disambungkan ke internet boleh diautomasikan dan dikawal menggunakan alat kawalan jauh

1. Pencahayaan Pintar

Bagi kebanyakan orang yang berminat untuk mendiami rumah pintar, pencahayaan merupakan perkara penting yang perlu didahulukan. Banyak sistem pencahayaan pintar boleh berfungsi dengan sempurna tanpa hab pusat dan masih mampu berinteraksi dengan elemen rumah pintar yang lain.

Sebagai contoh, mentol dari LIFX dan TP-Link berkomunikasi melalui WiFi manakala terdapat elemen lain yang berkomunikasi melalui Bluetooth telefon pintar anda.

2. Speaker Pintar

Speaker pintar pada hari ini berfungsi sebagai pembantu suara, telefon dan pemain muzik yang kesemuanya digabungkan dalam satu peranti. Contoh-contoh speaker pintar yang terdapat di pasaran ialah Apple HomePod, Amazon Echo dan Google Home Max.

Ciri-ciri Speaker Pintar

  • Audio 2-hala : Speaker berfungsi sebagai interkom atau walkie talkie yang memberi keupayaan untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga di bilik yang berbeza menggunakan mikrofon yang terdapat dalam speaker.
  • Multi-tasker : Speaker pintar mempunyai pembantu suara yang boleh mengendalikan rutin. Contoh, memainkan muzik sambil menghidupkan lampu dengan hanya mengucapkan ‘Selamat Pagi'
  • Panggilan telefon & video : Cukup hanya menggunakan arahan suara, speaker dapat mendail nombor telefon atau menghubungi seseorang melalui buku kenalan di samping anda dapat berbual secara hands-free dengan bunyi yang jelas.
  • Jam penggera : Anda tidak perlu lagi bergantung pada telefon pintar atau jam penggera lama. Speaker pintar mampu mengejutkan anda menggunakan lagu kegemaran anda. Anda juga boleh menetapkan pilihan muzik yang akan dimainkan apabila anda memasuki rumah.

3. Termostat Pintar

Ecobee4

Sesetengah peranti rumah pintar boleh menyesuaikan fungsi termostat pintar untuk tujuan keselesaan dan penjimatan kos/tenaga. Bagaimana?

Sistem ini dapat mengesan waktu keberadaan anda di rumah. Oleh itu, ia dapat menjadualkan waktu pemanasan dan penyejukan termostat atau dalam erti kata yang lebih mudah, termostat hanya beroperasi apabila diperlukan.

Trend terbaru rekaan termostat ialah melengkapkan termostat dengan sensor yang boleh mengesan ruangan yang sering anda masuki di rumah. Penjimatan tenaga dapat ditingkatkan kerana termostat hanya beroperasi berdasarkan di mana anda berada, bukan berdasarkan lokasi termostat.

4. Kamera Keselamatan Rumah

Kamera keselamatan rumah yang berkualiti membolehkan anda terus memerhatikan rumah anda, lebih-lebih lagi sepanjang ketiadaan anda.

Sesetengah model seperti Ring, Netatmo dan Maximus boleh dilengkapi lampu yang boleh menerangi laluan anda.

Kamera yang disekalikan dengan loceng pintu dapat memantau kawasan garaj dan membolehkan anda berinteraksi dengan pelawat tanpa perlu pergi ke pintu. Malah, anda juga boleh berinteraksi dengan pelawat walaupun anda tidak berada di rumah.

5. Pengesan Asap Dan Karbon Monoksida Pintar

Nest Labs

Pengesan asap pintar bukan sahaja membunyikan penggera di rumah, malah ia juga akan menghantar amaran menerusi telefon pintar anda dan kenalan terdekat anda sekiranya perkara berbahaya dikesan.

Pengesan asap pintar seperti Nest Protect menggabungkan lampu kecemasan yang membantu anda mencari jalan keluar sekiranya rumah anda dipenuhi asap tebal.

6. Pengairan Pintar

Pengairan pintar mungkin menjadi pelaburan paling kurang bermanfaat berbanding sistem rumah pintar lain. Namun, tidak dinafikan banyak kebaikan yang disediakan oleh sistem ini.

Sistem pengairan pintar membantu memastikan rumput dan taman anda mendapat kelembapan secukupnya tanpa menyebabkan sebarang pembaziran.

Sistem ini tidak memerlukan penetapan masa, sebaliknya, ia menggunakan data dari sensor, ramalan cuaca dan pengkalan data penjagaan tumbuhan untuk menentukan waktu penyiraman.

Selain itu, anda anda boleh memeriksa kondisi tumbuhan anda tidak kira di mana anda berada dengan hanya menggunakan aplikasi web dan telefon.

Kelebihan Rumah Pintar

  • Pemantauan – Segala yang telah dan sedang berlaku di rumah dapat dipantau di mana sahaja melalui alat kawalan jauh. Rumah pintar juga menyediakan data dan statistik secara langsung mengenai sistem-sistem yang disepadukan seperti penggunaan tenaga, air, pemantauan suhu dan kelembapan, status sistem pemanasan, makluman akses keselamatan dan pengesan kehadiran manusia.
  • Pengawalan – Sistem kawalan rumah dapat dijadikan sebagai pelan cadangan kecemasan sekiranya terdapar sebarang masalah.
  • Kecekapan – Rumah pintar dapat menyediakan kadar penggunaan tenaga yang minima melalui pengaplikasian sistem tenaga hijau.
  • Kepintaran – Rumah pintar dapat mengenalpasti bilangan isi rumah yang menjadi faktor pengawalan sistem penghabaan, lampu dan sebagainya. Sambungan ke internet juga membolehkan sistem menyediakan data ramalan cuaca.

Share this article

shares