Pengenalan Kepada IoT

Apa Itu IoT?

IoT merupakan singkatan kepada Internet of Things atau Internet pelbagai benda. IoT merujuk kepada sistem peranti pengkomputeran yang saling berkaitan, mesin mekanikal dan digital, haiwan atau manusia yang dibekalkan dengan alamat IP.

IoT juga merujuk kepada keupayaan untuk memindahkan data melalui rangkaian tanpa memerlukan interaksi antara manusia dengan manusia atau antara manusia dengan komputer

Masih Kurang Jelas Bagaimana IT Berfungsi?

Admin akan jelaskan secara ringkas dan bukan secara teknikal tentang apa yang boleh dilakukan oleh telefon pintar anda.

Bagaimana anda membaca post ini sekarang? Mungkin di desktop, telefon bimbit, tablet, tetapi apa sahaja peranti yang anda gunakan, ia pasti berkaitan dengan internet.

Anda boleh fikirkan tentang fungsi telefon bimbit yang anda gunakan sebelum wujudnya telefon pintar. Fungsinya hanya terhad kepada membuat atau menerima panggilan dan teks mesej sahaja.

Berlainan pula dengan telefon pintar, hanya dengan satu carian yang mudah, anda boleh membaca mana-mana buku, menonton filem atau mendengar lagu di tapak tangan anda.

IoT sebenarnya merupakan konsep yang sangat mudah di mana ia mengambil semua perkara di dunia dan menyambungkannya ke internet.

Mengapa IoT Menjadi Penting?

Apabila sesuatu benda itu disambungkan ke internet, itu bermakna ia boleh menghantar maklumat atau menerima maklumat atau kedua-duanya. Keupayaan ini menjadikan perkara-perkara pintar sangat diperlukan dalam kehidupan seharian.

Mari gunakan telefon pintar sekali lagi sebagai contoh. Sekarang anda boleh mendengar semua lagu dari seluruh dunia tanpa perlu menyimpan setiap lagu di dalam telefon anda. Hal ini kerana setiap lagu di dunia disimpan di tempat lain, tetapi telefon anda boleh menghantar maklumat (meminta lagu itu) dan kemudian menerima maklumat (menstrimkan lagu tersebut di telefon anda.

Ini menunjukkan bahawa telefon anda tidak perlu mempunyai storan super, tetapi hanya perlu disambungkan ke storan super.

Apa Lagi Yang IoT Boleh Lakukan?

Aplikasi boleh dimanfaatkan dalam bidang perniagaan melalui pengautomasian tugas-tugas keselamatan. Contohnya menyampaikan notifikasi yang diperolehi melalui sensor atau kamera berangkaian kepada pihak berkuasa apabila pemadam api dalam bangunan disekat atau mengalami sebarang gangguan.

Anda boleh melihat bagaimana pemadam api pintar berfungsi melalui gambar di bawah

Rangkaian Pemadam Api Pintar

Terdapat tiga kategori yang dapat dikenalpasti dalam Sistem IoT:

  1. Mengumpul dan menghantar maklumat
  2. Menerima dan memberi tindak balas terhadap maklumat
  3. Melakukan kedua-duanya sekali

1. Mengumpul dan Menghantar Maklumat

Kategori ini boleh dirujuk sebagai sensor. Sensor boleh terdiri daripada sensor suhu, gerakan, kelembapan, kualiti udara, cahaya dan sebagainya.

Penggabungan antara sensor dan internet membolehkan maklumat dikumpul secara automatik dari persekitaran yang seterusnya membolehkan keputusan bijak dibuat.

Di ladang, maklumat tentang kelembapan tanah yang diperolehi secara automatik dapat memberitahu para petani waktu yang tepat untuk menyiram tanaman. Perkara ini dapat mengelakkan petani mengalami kerugian akibat menyiram terlalu banyak dan dapat menjimatkan sumber alam sekitar

Alat Pengesan Kelembapan Tanah

2. Menerima dan Memberi Tindak Balas Terhadap Maklumat

Admin yakin kita semua sangat familiar dengan mesin yang mendapatkan maklumat kemudian bertindak.

Pencetak anda menerima dokumen dan mencetaknya, kereta anda menerima isyarat daripada kunci kereta lalu pintu terbuka dan macam-macam lagi perkara di sekeliling kita yang boleh dijadikan contoh.

Proses ini boleh berlaku semudah menghantar arahan ‘menghidupkan' atau sesukar menghantar model 3D kepada pencetak 3D.

Walau apa sekalipun caranya, kita tahu bahawa kita boleh memberitahu mesin apa yang perlu dilakukan dari jauh.

3. Melakukan kedua-duanya sekali

Berbalik kepada contoh pertanian, sensor dapat mengumpulkan maklumat tentang kelembapan tanah untuk memberitahu petani jumlah air yang diperlukan untuk menyiram tanaman, tetapi anda sebenarnya tidak memerlukan petani. Sebaliknya, sistem pengairan secara automatik boleh dihidupkan seperti yang diperlukan, berdasarkan tahap kelembapan tanah.

Tambah menjimatkan lagi, sekiranya sistem pengairan menerima maklumat tentang cuaca dari sambungan internet, ia juga boleh mengetahui bila hujan akan turun. Hasilnya, proses penyiraman tidak akan dilakukan pada hari yang dituruni hujan

Dan ia tidak hanya terhenti di situ. Semua maklumat tentang kelembapan tanah, berapa banyak sistem pengairan yang diperlukan untuk menyiram tanaman dan tahap kesuburan tanaman dapat dikumpulkan dan dihantar ke superkomputer yang menjalankan algoritma yang menakjubkan dan dapat memahami semua maklumat ini.

Sistem Penyiraman Automatik
Sumber: Decorex Pro

Share this article

shares