Pengenalan Kepada Augmented Reality (AR)

Apa Itu Augmented Reality?

Augmented Reality atau AR merujuk kepada kombinasi mudah antara dunia nyata dan maya. Perkataan ‘augmented' sendiri merujuk kepada ‘ditambah'.

Berdasarkan subjek sebenar yang diambil menggunakan kamera atau video, teknologi tersebut akan ‘ditambah' dengan lapisan ekstra maklumat digital supaya menjadi imej nyata.

Jika anda gemar menonton siaran sukan di televisyen, anda pasti pernah melihat bentuk asas AR yang lazimnya memaparkan kedudukan serta nama pemain, minit masa perlawanan dan keputusan akhir perlawanan.

Sejarah Ringkas Augmented Reality

Augmented Reality telah diperkenalkan oleh Thomas P Caudell dari Boeing pada tahun 1990.

Namun, Sistem AR yang berfungsi dengan baik mungkin sistem yang dibangunkan di Makmal Penyelidikan Armstrong USAF pada tahun 1992.

Ia dipanggil Pemasangan Maya dan merupakan sistem robotik yang kompleks yang direka untuk mengimbangi kekurangan kuasa pemprosesan grafik berkelajuan tinggi 3D pada awal tahun 90an.

Ia juga membolehkan overlay informasi deria digunakan di ruang kerja untuk meningkatkan produktiviti manusia.

Terdapat banyak lagi penemuan lain sepanjang AR diciptakan. Antaranya ialah:

  • Bruce Thomas membangunkan sebuah permainan outdoor AR bergerak yang dipanggil ARQuake pada tahun 2000.
  • ARToolkit (alat rekabentuk) disediakan di Adobe Flash pada tahun 2009.
  • Google mengumumkan beta terbuka Google Glass pada tahun 2013
  • Microsoft mengumumkan headset HoloLens AR mereka pada tahun 2015

Bagaimana AR Berfungsi?

AR boleh menggunakan pelbagai lingkungan data tertentu seperti imej, animasi, video dan model 3D. Hasilnya dapat dilihat dalam cahaya semulajadi ataupun sintetik.

Bukan itu sahaja, AR juga boleh dipaparkan pada pelbagai peranti seperti skrin, kaca, peranti yang boleh dipegang menggunakan tangan, telefon bimbit, paparan head-mounted dan sebagainya.

Ia melibatkan teknologi seperti Simultaneous Localization And Mapping (SLAM), pengesan data yang mengira jarak objek dan komponen-komponen seperti berikut:

1. Sensor dan kamera

Berperanan dalam mengumpulkan data mengenai interaksi pengguna dan menghantarnya untuk diproses. Hasil maklumat yang diperolehi dari kamera yang bertindak sebagai pengimbas persekitaran, peranti akan menempatkan objek fizikal dan menghasilkan model 3D.

Sebagai contoh, Microsoft Hololens atau kamera telefon pintar biasa.

2. Pemprosesan

Peranti AR memerlukan CPU, GPU, memori flash, RAM, Bluetooth / WiFi, GPS dan sebagainya untuk mengukur kelajuan, sudut, arah, orientasi dalam ruang dan lain-lain.

3. Pemancaran

Komponen ini merujuk kepada projektor miniatur yang terdapat pada headset AR. Projektor mengambil data daripada sensor dan kandungan digital projek (keputusan pemprosesan) lalu dibawa ke permukaan untuk dilihat.

4. Pantulan

Sesetengah peranti AR mempunyai cermin untuk membantu mata manusia melihat imej maya.

Terdapat peranti AR yang mempunyai susunan ‘cermin melengkung kecil' dan terdapat juga peranti yang mempunyai cermin dua sisi untuk memantulkan cahaya ke kamera dan ke mata pengguna.

Matlamatnya adalah untuk melakukan alignment imej yang lebih baik.

Kategori-kategori Peralatan AR

1. AR 3D Viewer

Membolehkan pengguna memaparkan saiz sebenar model 3D atau imej secara realistik tanpa menggunkan penjejak.

AR Viewer dapat membantu pengeluar produk mempersembahkan produk baru mereka dalam saiz yang sebenar di premis mereka sendiri.

2. AR Browser

Membekalkan paparan kamera anda dengan maklumat kontekstual.

Sebagai contoh, anda boleh menghalakan telefon pintar anda pada mana-mana bangunan untuk mendapatkan paparan sejarah atau nilai anggarannya.

3. Gaming

Mewujudkan pengalaman bermain game yang lebih mendalam dan menyeronokkan yang menggunakan sepenuhnya ruangan di sekeliling anda.

Bayangkan permainan menembak zombie yang berjalan di bilik tidur anda sendiri!

Penggunaan terbesar AR dalam permainan adalah Pokémon Go, yang membolehkan pengguna menangkap Pokémon maya yang tersembunyi di seluruh peta dunia nyata.

Jenis-jenis Aplikasi AR

Apa yang paling menarik tentang AR ialah ia boleh diakses oleh pengguna biasa dengan hanya menggunakan telefon pintar. Evolusi pembangunan teknologi AR telah mencipta pelbagai aplikasi mudah alih yang sesuai untuk pelbagai tujuan.

Mari kita lihat jenis-jenis AR yang telah dipertingkatkan.

  1. Marker-Based Augmented Reality

AR berasaskan penanda atau juga dikenali sebagai AR berasaskan pengecaman imej memberikan kita lebih banyak maklumat tentang objek yang telah difokuskan.

Teknologi AR berasaskan penanda mempunyai pelbagai kegunaan mengikut keperluan pasaran. Ia mengesan objek di hadapan kamera dan memaparkan maklumat mengenai objek pada skrin.

Pengecaman imej adalah berdasarkan di mana penanda diletakkan pada skrin. Seterusnya, ia akan menghasilkan imej versi 3D yang sepadan dan boleh diputar (rotate)

Oleh itu, pengguna boleh melihat objek dengan lebih terperinci dan dari pelbagai sudut.

2. Projection Augmented Reality

AR berasaskan pemancaran berfungsi dengan mengunjurkan cahaya buatan pada permukaan dunia nyata.

Aplikasi ini membolehkan interaksi manusia dengan menghantar cahaya ke permukaan dunia sebenar untuk disentuh oleh manusia.

Pengesanan interaksi manusia dilakukan dengan membezakan antara pancaran yang dijangka atau diketahui dengan pancaran yang telah diubah akibat interaksi pengguna.

Seperkara lagi yang menarik tentang aplikasi berasaskan pemancaran cahaya ialah penggunaan teknologi plasma laser untuk memancarkan hologram interaktif 3D ke udara

3. Superimposition Based Augmented Reality

AR berasaskan superimposisi menggantikan pandangan asal sesuatu objek dengan pandangan baru di mana objek tersebut telah ditambah dengan visual.

Dalam aplikasi ini, pengecaman imej memainkan peranan penting kerana aplikasi tidak akan dapat menggantikan pandangan asal sekiranya pengecaman objek tidak dilakukan dengan betul.

Salah satu contoh penggunaan aplikasi ini ialah katalog perabot ikea. Dengan memuat turun aplikasi dan mengimbas halaman muka surat terpilih dalam katalog digital, pengguna dapat meletakkan perabot maya ikea di rumah mereka sendiri dengan bantuan augmented reality.

4. Markerless Augmented Reality

Aplikasi tanpa penanda merupakan salah satu aplikasi yang paling banyak digunakan dalam AR dan turut dikenali sebagai aplikasi berasaskan lokasi atau GPS.

Aplikasi ini menggunakan GPS, kompas digital, meter halaju atau accelerometer yang tertanam dalam peranti untuk menyediakan data berdasarkan lokasi anda.

Antara kekuatan yang dapat dikenalpasti ialah ketersediaan yang meluas dalam telefon pintar serta ciri pengesanan lokasi yang disediakan.

Markerless AR kebiasannya digunakan untuk pemetaan, mencari perniagaan berdekatan dan aplikasi location-centric mudah alih yang lain.

Langkah-langkah Untuk Menggunakan Augmented Reality

  • Muat turun aplikasi tersebut
  • Dapatkan imej/kod/flyer penanda
  • Tempatkan penanda di persekitaran anda
  • Halakan peranti pada penanda dan mula berinteraksi dengan AR

Share this article

shares