4 Pemaju Rumah Pintar Di Malaysia

Menuju ke arah dunia digital yang semakin berkembang pesat, satu daripada cabangnya adalah memiliki sistem rumah pintar dan semua peranti atau perkakasan boleh dihubungkan menggunakan aplikasi.

Kediaman pintar sudah pasti merupakan idea yang hebat. Ciri pintar mampu menukar rumah anda sebagai ruang kehidupan serba automatik yang menjanjikan kemudahan, keupayan perhubungan dan menyerlahkan kecanggihan.

Rakyat Malaysia juga didapati semakin dipengaruhi kehidupan di kediaman pintar terutama generasi milenium. Jika anda bercadang untuk memiliki kediaman pintar, anda perlu tahu senarai pemaju rumah pintar terkemuka di Malaysia.

Kelebihan membeli projek perumahan daripada senarai pemaju terkemuka di Malaysia ialah mereka menggunakan teknologi inovasi terkini dan infrastruktur terkini untuk projek mega mereka yang kompleks.

Berikut merupakan empat pemaju rumah pintar terkemuka di Malaysia:

1. HSA Technologies

HSA Technologies merupakan sebuah syarikat yang berintensif teknologi yang menumpukan kepada penyediaan solusi IoT. Ia menyokong pergerakan futuristik ini dengan membawa pelbagai solusi rumah pintar sambil membina seluruh ekosistem di sekelilingnya.

Projek-projek yang pernah dibangunkan termasuklah Eco World, Time.com dan Nusantara Wellness Resort.

Servis Yang Ditawarkan

  • Semua ekosistem terletak di hujung jari anda

HSA menawarkan penggunaan protokol tanpa wayar Z-Wave yang membolehkan pemilik rumah pintar menambah peralatan pintar walaupun selepas pemasangan awal. Selain itu, segala operasi dikawal oleh alat kawalan Vera Smart Home. Vera Smart Home boleh dikatakan sebagai ‘otak' untuk rumah pintar anda.

  • Menyediakan kepelbagaian

Anda boleh mengakses kunci rumah menerusi aplikasi di mana anda boleh tetapkan untuk dibuka pada masa-masa tertentu atau dibuka dari jarak jauh. Apa yang lebih menarik, Vera Smart Home turut menyediakan butang panik yang akan menghubungi pihak berkuasa terdekat dan memaklumkan sebarang masalah melalui aplikasi

  • Pengalaman Hands-On

Aplikasi LIFX LED membolehkan anda menukar warna mentol mengikut kesukaan anda menerusi telefon pintar.

  • Sistem yang selamat dan boleh dipercayai

HSA Technologies menyediakan pakej servis keselamatan pintar LInkPlus yang akan melindungi anda dan persekitaran anda melalui peralatan-peralatan seperti pengawal pintar, pengesan pergerakan, pengesan asap, sensor pintu dan butang panik.

Mengapa servis keselamatan Linkplus merupakan pilihan terbaik?

  1. Bateri Lithium yang boleh dicas dan bertahan selama 24 jam.
  2. Aplikasi dan pengawal pintar boleh diakses melalui android atau iOS.
  3. Tidak memerlukan wayar.
  4. Boleh menerima makluman tanpa jaringan internet.
  5. Radius pengawal pintar boleh meliputi seluas 100 hingga 200 meter.
  6. Menjimatkan dan mengurangkan kos tenaga dengan menggunakan kurang daripada 18 Watt.

2. Senzo

Penang Outlet

Senzo merupakan pemaju hartanah yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang dan telah beroperasi sejak tahun 1995. Berkonsepkan inovasi, Senzo telah menghasilkan pelbagai reka bentuk dan inovasi yang membolehkan pelanggan menikmati faedahnya.

Di bawah merupakan beberapa contoh inovasi yang telah dilakukan oleh Senzo bermula tahun 1995 hingga kini.

Sumber: Senzo

Servis Yang Ditawarkan

Dengan menggabungkan teknologi, aspek sosial dan keperluan peribadi, Senzo menawarkan ciri-ciri berikut:

  • Persekitaran tempat tinggal dan tempat bekerja yang kondusif
  • Keselamatan yang lebih baik
  • Mesra alam
  • Infrastruktur yang lebih baik

Kesemua ciri tersebut diimplementasikan menerusi produk-produk pintar seperti dalam gambar rajah di bawah.

Projek perumahan di bawah Senzo termasuklah SenzVilles yang terletak di Sungai Ara, Penang.

3. Ruma

Ruma Automation merupakan pemaju rumah pintar yang mempunyai misi untuk memaksimumkan keseronokan rumah anda dengan menawarkan penyelesaian rumah pintar yang bersesuaian dengan keperluan anda. Ruma menyediakan keselesaan dan keselamatan supaya anda mempunyai masa yang lebih berkualiti dengan keluarga.

Merupakan syarikat dari Belgium yang bertapak di Kuala Lumpur , Ruma menjanjikan pelbagai sistem rumah pintar yang berkualiti seperti Mod Selamat Pagi, Mod Filem dan Mod Selamat Malam demi memenuhi matlamat syarikat, menjadikan hidup anda lebih mudah dan mengurangkan kerumitan.

Servis Yang Ditawarkan

1) Mod Selamat Pagi

Mod Selamat Pagi dapat memudahkan seseorang yang sering menghadapi kesukaran untuk berganjak dari katil dengan memainkan muzik yang mampu meningkatkan semangat atau mempengaruhi mood, membancuh kopi dan meredupkan lampu.

2) Mod Filem

Mod filem sangat sesuai bagi yang gemarkan hiburan. Mod filem berfungsi dengan memalapkan lampu dan menutup langsir dari keselesaan sofa anda.

3) Mod Selamat Malam

Mod ini membenarkan anda tidur tanpa sebarang kebimbangan. Hal ini kerana Mod Selamat Malam akan menguruskan penghujung hari anda dengan menutup semua langsir, mematikan lampu dan menetapkan penggera dengan hanya satu klik.

Produk Keluaran Ruma

1) Sensor Pintu Dan Tingkap Fibaro

Sistem Fibaro merupakan sensor pintu atau tingkap yang menggunakan bateri dan beroperasi di bawah Z-Wave. Sensor ini berkebolehan untuk memantau pembukaan pintu, tingkap dan garaj.

Selain itu, sistem ini juga digunakan dalam kawalan cahaya automatik, kawalan akses dan sistem perlindungan harta benda.

Sistem Fibaro dapat meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk di samping mengurangkan risiko bayaran yang tinggi untuk pemanasan atau pendingin hawa.

2) Sensor Asap Fibaro
  • Dapat mengesan asap dengan cepat walaupun asap rokok
  • Dilengkapi sensor suhu
  • Dikuasakan oleh bateri atau kabel
3) Fibaro 3KW Relay

Produk ini membolehkan suis kedua disambungkan ke modul yang boleh mengawal peranti Z-Wave tambahan yang berkaitan dengan model fibaro atau dalam pemasangan lampu 2 arah.

4. Vyrox

Vyrox merupakan pembekal sistem rumah pintar IoT terbaik di Malaysia dan tergolong dalam top 10 syarikat integrasi rumah pintar dalam Asia Tenggara. Vyrox juga terlibat dalam projek pembangunan komersil B2B (projek pangsapuri kondominium) dan projek individu B2C (rumah, kondominium, banglo dll)

Mempunyai pengalaman selama 17 tahun, kepakaran Vyrox terhadap semua kawalan rumah pintar IoT dan solusi pemantauan pintar sama ada berwayar atau tidak berwayar tidak dapat dinafikan lagi.

Mengenai sistem berwayar, Vyrox sangat familiar dengan reka bentuk sistem serta pemasangan KNX, Crestron, VHOME, AUTOSERVA, C-Bus dan sebagainya. Manakala, bagi sistem tidak berwayar pula, VYROX familiar dengan ZigBee dan Z-Wave.

Hill10 Residence, Gravit8, Straits Residence merupakan contoh-contoh projek yang dikuasakan oleh Vyrox.

Servis Yang Ditawarkan

1) Rumah Pintar VHOME

VHOME membolehkan anda memantau, mengawal dan menjaga rumah anda. Anda boleh mengaksesnya pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja melalui mana-mana web dan mengawal pencahayaan, peralatan rumah, suhu, peranti audio&video, pengawasan, penggera dan akses.

Vyrox VHOME direka untuk mengintegrasikan dan memusatkan semua sistem elektrik dan elektronik yang sedia ada. Sistem ini dilengkapi suis, pemasa, sensor dan input sentuhan yang diaktifkan.

2) Rumah Pintar Zigbee

Siri Zigbee direka untuk menyediakan cara yang paling mudah untuk memasang atau menghidupkan rumah pintar. Apa yang menjadikannya lebih mudah berbanding IP tetap atau DDNS, pengawal utama/ gateway/ server merupakan teknologi yang dilengkapi P2P di mana anda hanya perlu memuat turun aplikasi iOS atau android, kemudian anda boleh menikmati teknologi Zigbee.

3) Interkom Video Apartment

VYROX Video Intercom System (VITC) menggunakan teknologi kelas dunia terkini dari Google, Microsoft, Cisco dan Intel untuk memberikan penyelesaian menyeluruh untuk kondominium pintar.

Interkom ini diintegrasikan dengan fungsi-fungsi seperti interkom video, interkom suara, servis mesej segera, kawalan rumah pintar IOT, kawalan keselamatan, pemantauan CCTV, kawalan akses, muzik pelbgai zon, pengurusan harta, tempahan fasiliti dan beberapa aplikasi mini yang diperibadikan.

Share this article

shares