Kelebihan & Kelemahan e-Wallet

Masyarakat pada hari ini sudah pasti tidak asing lagi dengan dompet digital atau biasa kita sebut dengan istilah e-wallet. E-wallet memiliki fungsi yang hampir sama seperti dompet fizikal pada umumnya.

Dengan penggunaan e-wallet yang kian meluas, hampir semua orang menggunakan sekurang-kurangnya satu e-wallet. Sekiranya anda tergolong sebagai seorang yang tradisional, anda pasti terganggu dengan idea untuk membiarkan pihak ketiga menguruskan wang anda.

Sebelum membuat sebarang keputusan, anda boleh mempertimbangkan kebaikan serta keburukan e-wallet menerusi senarai yang telah admin lampirkan dalam penulisan kali ini.

Kelebihan Menggunakan e-Wallet

1. Boleh dijadikan sebagai alat bantuan belanjawan

Apabila anda membuat sesuatu pembayaran, e-wallet akan menyimpan segala rekod perbelanjaan anda di bahagian history. Oleh itu, anda tidak perlu lagi risau untuk mengingati atau tertanya-tanya akan kemana duit anda telah ‘menghilang’ atau berapa banyak anda telah berbelanja dalam seminggu atau sebulan.

Semua rekod perbelanjaan anda kini dibuat secara automatik. Senang bukan? Tidak perlu lagi anda membazir kertas dan bersusah-payah menulis rekod setiap kali anda berbelanja.

Selain itu, dengan menggunakan e-wallet juga anda dapat mengawal perbelanjaan anda dengan menetapkan jumlah amaun tambah nilai mengikut keperluan peribadi. Tidak perlu lagi untuk risau akan berbelanja melebihi had peribadi yang telah ditetapkan.

Cara ini sesuai untuk individu yang sering lupa diri apabila berbelanja, terutamanya ketika gaji bulanan baru dikreditkan ke dalam akaun bank.

2. Lebih selamat daripada tunai dalam sesetengah keadaan

Sekiranya anda pergi melancong ke luar negara, sudah pasti anda akan membawa sejumlah wang tunai yang agak besar untuk perbelanjaan harian. Anda mungkin berisiko untuk dirompak atau menjadi tumpuan penyeluk saku.

Dengan menggunakan e-wallet, anda dapat memastikan bahawa anda tidak akan menjadi target atau mangsa jenayah kerana e-wallet tidak memerlukan anda untuk membawa dompet fizikal.

Tambahan lagi, kesemua maklumat akaun peribadi anda akan disulitkan kerana nombor akaun bank sebenar tidak akan dinyatakan di telefon anda. Kata laluan turut diperlukan sekiranya anda ingin melihat atau mengubah maklumat akaun, membuat pembelian atau transaksi ke mana-mana perkhidmatan.

Akhir sekali, anda tidak perlu risau akan kehilangan dompet atau terlupa untuk membawa kad anda ketika berada di luar. Top up saja dompet digital dan teruskan pembayaran dengan mudah.

3. Lebih cepat dan memudahkan

Penggunaan e-wallet tidak memerlukan anda untuk memasukkan semua butiran peribadi secara manual. Hal ini kerana segala informasi yang diperlukan untuk melakukan proses pembayaran telah disimpan dalam aplikasi e-wallet.

Sesetengah wallet mudah alih kini membolehkan anda membayar bil dengan hanya menekan klik pada pembaca kad di telefon seperti ApplePay.

Sesetengah dompet mudah alih seperti PayPal dapat mempercepatkan proses pemesanan barangan online. Hal ini kerana dengan wang tunai yang disimpan dalam e-wallet, anda tidak perlu melalui proses memasukkan nombor kad untuk setiap pembelian.

4. Boleh mendapatkan ganjaran untuk setiap pembelian

Sesetengan wallet mudah alih memberikan anda mata ganjaran untuk perbelanjaan seperti kad kredit. Sebagai contoh, pembelian yang dibuat melalui GrabPay membolehkan anda menebus tawaran ganjaran seperti diskaun perkhidmatan, tiket wayang atau baucer pembelian.

Bukan itu sahaja, tawaran cashback atau balik tunai juga menanti anda. E-wallet seperti Boost, FavePay, BigPay dan GrabPay sentiasa menawarkan pelbagai cashback dan diskaun menarik yang semestinya akan membuat pengguna mereka tergoda! Inilah yang dikatakan sebagai membeli-belah dengan bijak.

Kelemahan e-Wallet

Antara kelemahan penggunaan e-wallet ialah:

1. Boleh menggalakkan perbelanjaan

Walaupun wallet mudah alih boleh membantu belanjawan, tidak mustahil ia juga dapat menggalakkan lagi anda untuk berbelanja lebih.

Sebagai contoh, katakan anda telah memperuntukkan atau menganggarkan RM150 untuk membayar GrabPay untuk satu bulan. Pada akhir bulan, anda mendapati akaun anda masih berbaki RM30. Anda pasti akan membelanjakan wang tersebut dengan menaiki mana-mana GrabCar walaupun anda tidak memerlukannya.

Hal ini kerana anda sudah tetapkan dalam fikiran bahawa anda sudah ‘mengganggarkan' untuk membelanjakan wang tersebut.

2. Memberi maklumat sensitif

Untuk mendaftarkan akaun e-wallet mungkin memerlukan beberapa maklumat sensitif seperti nombor kad kredit, alamat email dan nombor telefon.

Terdapat risiko bahawa anda akan dihujani dengan bahan pengiklanan yang agak menyusahkan.

Bukan itu sahaja, anda juga perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk e-wallet digodam oleh seseorang. Kecurian maklumat boleh mendatangkan banyak kesan buruk seperti penyamaran identiti, sindiket penipuan dan sebagainya.

3. Risiko kegagalan wallet mudah alih

Anda perlu ingat bahawa wallet mudah alih bukan bank. Sekiranya sesebuah syarikat yang menyediakan e-wallet ditutup, kemungkinan tidak ada obligasi untuk mengembalikan wang tunai anda yang masih berada di dalam akaun tersebut.

Oleh itu, anda perlu membaca terma dan syarat untuk menyemak maklumat berkenaan perkara ini.

Begitu juga jika wallet tersebut mengalami kegagalan fungsi, anda mungkin tidak akan dapat mengakses wang sehingga sistem dibaiki. Perkara ini pasti akan menjadi masalah besar sekiranya anda ingin menempah tiket penerbangan dengan segera.

4. Servis yang masih terbatas

Tidak dapat dinafikan kebanyakan premis pada hari ini sudah menggunakan kaedah pembayaran tanpa wang tunai di seluruh negara.

Tetapi, masih banyak juga perniagaan yang masih belum menggunakan e-wallet sebagai platform pembayaran. Akibatnya, pelanggan perlu menggunakan kaedah lama, iaitu pembayaran melalui kad debit/kredit.

Selain itu, e-wallet juga mempunyai keterbatasan dari segi pengeluaran wang. Wang yang disimpan di e-wallet hanya boleh digunakan untuk transaksi pembayaran, tetapi tidak boleh dikeluarkan.nApa yang lebih tragis lagi, wang yang tidak boleh dikeluarkan akan kekal berada di dalamnya tanpa berkembang.

Share this article

shares