Bila Kita Perlu Guna CDN?

Tahukah anda apa itu CDN? CDN (Content Delivery Network) merupakan satu sistem yang menjadikan proses penyebaran maklumat lebih laju dan efisien kepada pengguna.

Bagaimana CDN berfungsi?

Untuk mengakses satu laman web, kebiasannya pengguna akan menghantar permohonan (request) kepada pelayan (server). Pelayan kemudiannya akan menghantar maklumat yang dipohon kepada pengguna.

Sistem HTTP Biasa

Cepat atau lambat maklumat tersebut dihantar bergantung kepada lokasi dan kelajuan pelayan. Sekiranya lokasi pelayan berhampiran dengan pengguna, maklumat yang dihantar biasanya lebih laju.

Oleh itu, pengguna dari Malaysia yang ingin mengakses satu gambar dari pelayan di Malaysia, akan mendapati ia lebih laju daripada mengakses gambar yang sama tetapi dari pelayan di Amerika. Dalam kes yang sama, pengguna dari Amerika pula yang akan mendapati mengakses gambar dari pelayan di Malaysia agak perlahan baginya.

Di sini CDN memainkan peranan. CDN merupakan satu rangkaian pelayan yang mempunyai banyak lokasi. Pelayan CDN akan menyimpan maklumat yang diterima daripada pelayan asal, dan akan menghantar maklumat tersebut kepada pengguna melalui lokasi pelayan CDN yang berhampiran dengan pengguna.

Sebagai contoh, pengguna dari Australia akan menerima maklumat daripada pelayan CDN dari Australia sendiri, bukan daripada pelayan asal di Malaysia. Ini akan menyebabkan proses penyampaian maklumat yang lebih cekap dan efisien.

Bagaimana CDN Berfungsi (Kaedah Pull)

Bagaimana CDN Berfungsi (Kaedah Pull)

Bagaimana CDN Dapat Membantu Anda?

  1. Mengoptimasikan penyampaian data
    CDN akan menghantar maklumat daripada lokasi pelayan yang berhampiran dengan pengguna, sekali gus memendekkan masa yang diambil untuk pemindahan maklumat.
  2. Mengurangkan beban pelayan
    Pengguna akan mengakses maklumat daripada pelayan CDN yang berprestasi tinggi, dan bukan daripada pelayan anda, menyebabkan beban kepada pelayan anda semakin berkurang.
  3. Menjimatkan penggunaan data jalur lebar pelayan (bandwith)
    Apabila anda menghantar gambar kepada pengguna melalui CDN, anda dapat menjimatkan data pelayan anda, dan sebaliknya menggunakan data CDN.

Siapakah Yang Sepatutnya Menggunakan CDN?

  1. Mereka yang mempunyai pengunjung yang ramai
  2. Laman web yang menggunakan banyak gambar dan video
  3. Mereka yang mempunyai pengunjung dari pelbagai lokasi di dunia
  4. Mereka yang ingin menjimatkan beban dan data pelayan

Sekiranya anda antara golongan di atas, anda patut menggunakan CDN. Namun, berapakah pula kos menggunakan CDN?

Ada CDN yang anda boleh guna secara percuma, seperti Cloudflare dan WordPress CDN, dan ada servis CDN yang berbayar seperti KeyCDN, StackPath, AWS dan Google Cloud.

Saya akan kongsikan bagaimana ingin menggunakan CDN ke laman web anda dalam artikel-artikel yang akan datang.

Share this article

shares